adakah istilah `cinta islamik??~`

January 18, 2008 at 11:47 am (1)

Adakah istilah ‘Cinta? Islamik’

cinta dakwahDulu saya juga pernah menggunakan istilah ini. Menyukai seseorang tetapi hanya sms sahaja menjadi penghubung. Tidak pernah call langsung dan tidak pula terkeluar perkataan ‘sayang’ atau yang menaikkan nafsu. Semua saya cuba kawal seboleh mungkin.

Tetapi betulkah cinta seperti itu yang saya hendakkan? Saya berfikir balik kerana walaupun sekadar sms sahaja sudah mampu menyebabkan saya sedikit lalai, dan cerita yang ini anda boleh baca di entri saya ‘Ibadah Itu Cinta’.

Saya tidak menafikan memang fitrah manusia itu menginginkan sesuatu untuk mendorongnya daripada orang yang berlainan jantina daripadanya. Tetapi perlulah dengan cara yang terkawal.

Kalau sudah masuk sampai fasa ingin ada perkataan ‘sayang’ daripadanya, saya sarankan dua perkara. Pertama, kahwin dan yang kedua tinggalkan sahaja. Ini kerana jika fasa ‘sayang’ itu terlalu lama berlaku sebelum kahwin, ini mungkin akan menyebabkan satu perasaan pelik datang. Jemu.

Saya tidaklah tahu hormon jenis apa yang dirembeskan keluar atau bahagian saraf yang mana akan bertindak balas apabila menerima ransangan dan menyebabkan perasaan jemu dan bosan itu berlaku. Tetapi itulah yang berlaku kepada beberapa orang rakan saya yang bercinta.

Mungkin dalam dua tahun boleh bertahan. Tetapi kalau sudah masuk tahun keempat, ramai yang sudah mula terpisah. Jawapan mereka, “Dah tiada jodoh, nak buat macam mana.”

Nasib baik ada seorang yang berani tanpa malu menjawab, “Dah jemu sangat.”

Berbalik kepada persoalan betulkah ada istilah ‘Cinta Islamik’. Pandangan saya, ada bagi orang yang betul-betul menjaga pergaulan. Menetapi kehendak syariat. Cumanya memang fitrah manusia pula menginginkan sesuatu yang lebih daripada apa yang telah dia dapat. Dan dari situlah timbulnya merengek-rengek kepada pasangannya untuk memberikan lebih daripada sebelumnya.

Jadi, bolehkah berlaku ‘Cinta Islamik’ sebelum pernikahan jika begitu? Kemudian pandangan saya tertumpu pula ‘Cinta Islamik boleh berlaku selepas pernikahan’. Cuma ini sekadar pendapat saya dan ia masih lagi boleh dipertikaikan oleh anda jika mahu.

Jangan burukkan nama institusi jemaah

Hal ini saya kira memang berlaku dan menyerang mana-mana institusi jemaah mahasiswa. Bercinta dalam jemaah? Satu lagi idea pelik yang cuba dimurnikan. Maaf, cinta yang dimaksudkan adalah cinta antara pasangan berlainan jenis.

Mereka katakan kepada saya, “Inilah cinta islamik. Kami bercinta kerana dakwah. Nanti sudah kahwin bolehlah meneruskan jalan perjuangan ini.”

Tetapi bila saya datang ke biliknya, dia pula sedang menelefon pasangannya. Dan akibatnya saya terpaksa menunggu sehingga tamat gayutan perbualan tersebut.

Lelaki dan wanita yang baik bukanlah yang bersembunyi di sebalik kosmetik kata murni berbau Islam seperti itu. Kalau sudah salah janganlah disembunyikan lagi.

Memang setiap manusia ada ego tersendiri. Mereka akan menyangka apa yang mereka buat adalah betul. Dan kerana itu perlunya kawan untuk menasihatkan. Tetapi kalau nasihat kawan sendiri mereka cuba sangkal, apa lagi yang boleh saya buat.

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.” (Al-Baqarah: 42)

Saya tertarik dengan seorang rakan saya yang memang betul-betul berminat menjadikan seorang akhawat dalam jemaahnya sebagai isteri. Dan dia meminta tolong daripada naqibnya yang merupakan seorang ustaz untuk menguruskannya.

Harapnya tiada ‘sayang-sayang’ yang hadir sebelum pernikahannya. Dan yang ada hanyalah kerjasama dalam jemaah seperti dahulu juga. Seperti sebelum dia menyatakan hasratnya.

Ada seorang lagi rakan saya yang sedang bertunang dan bakal berkahwin dalam bulan Disember tahun ini. Hendak dikatakan kemaruk itu tidak nampak sedikit pun. Tiada pun sms ‘tanya khabar’ lagikan pula hendak telefon. Dia harap jika sudah berkahwin nanti, barulah rasa-rasa ingin bertanya khabar itu baru datang. Dan barulah cinta berputik pada masa itu.

Alangkah seringnya

Mentergesai kenikmatan tanpa ikatan

Membuat detik-detik depan terasa hambar

Belajarlah dari ahli puasa

Ada dua kebahagiaan baginya

Saat berbuka

Dan saat Allah menyapa lembut memberikan pahala

Inilah puasa panjang syahwatku

Kekuatan pada menahan

Dan rasa nikmat itu bakal kurasa

Diwaktu buka yang penuh kejutan

Salim A.Fillah(Buku: Nikmatnya berpacaran selepas pernikahan)

                                                                                               copy by: studio muslim.com

Post a Comment